AIR MATA HIJRAH

Bismillhirahmannirrahim

Minggu lepas aku ke MIAT lagi. Tak tahu kenapa sangat kuat aturan tarikan yang Allah letakkan antara aku dan MIAT. Bukankah ini namanya CINTA. Chia chia. Mengarut pulak dah, sila abaikan. Mungkin kerana pertemuan dengan mereka yang aku anggap seperti adik beradik sendiri walaupun aku sendiri sudah punya adik ;). 

Selesai urusan di MIAT aku bergegas menuruni tangga hostel puteri menuju ke kereta. Ada janji lain yang perlu ditepati.Tak tahu kenapa kaki ni tiba-tiba berhenti bila melintasi satu sosok tubuh seakan terkaku melihat aku. Mata kami bertentang. Shuja'a (bukan nama sebenar) rupanya. Perlahan dia menuju kearahku lalu salam dihulur dan kami berpelukan. Secara tiba-tiba dia menangis dibahuku.

"Ahh sudah. Kenapa pulak menangis ni" aku hanya mampu berkata didalam hati

Tangan Shuja'a ditarik dan kami duduk dimeja batu. Dibiarkan seketika dia menangis.Dia berhak melepaskan kesedihan yang dialami melalui air mata yang mana aku akui sukar untuk  aku keluarkan. 

" Shu ok? kenapa ni?" aku memulakan bicara

" Entahlah kak, bila nampak akak je saya terus rasa nak nangis.." katanya sambil mengelap air matanya yang mengalir.

Aku diam seketika lalu aku melemparkan senyuman padanya. Semoga Allah kuatkan hatinya.

" Macam mana jadi SRC? ok tak ? " soalan itu aku ajukan yang mungkin menjadi sebab dia menangis

" Tak OK.. Shu stress kak.." dia menjawab

" La..kenapa stress? banyak kerja ye.. " aku cuba mengorek walaupun aku tahu sememangnya menguruskan manusia bergelar Mahasiswa ini sangat memenatkan kerana aku pun pernah berada dipos
 isi itu.

Satu persatu cerita diluahkan. Setiap luahan saling berkait. Kesedihan apabila proses perubahan diri disalah anggap dan 'dihukum' oleh khalayak yang lain menyebabkan air matia itu gugur. Sungguh air mata itu akan menjadi saksi pada satu penghijrahan kerana Allah.

Bagi seorang yang baru dalam memperbaiki diri kepada yang lebih baik akan Allah lontarkan 'kasih sayang' kecil sebagai ujian. Dan semestinya lontaran kecil itu perlu disambut dengan kasih sayang supaya kita ingat bahawa yang melontar itu memanggil untuk mengingatiNya...

"bila rasa sayang tu lebih besar dari rasa benci, setiap perkara yang kita buat akan lebih mudah.." aku melontarkan kata memberi harapan


HIJRAH HADIAH DARI ALLAH




Jika ada Hitam pastinya ada sang putih. Dan jika diadunkan keduanya pastinya muncul sang kelabu. Begitulah aturan Allah. Perubahan dari keadaan hitam akan melalui kekelabuan sebelum menjumpai Putih. Disinilah mujahadah itu terpakai dan ianya ibarat berlian yang menahan tekanan dalam penghijrahan. Semakin diberi tekanan semakin cantik ia dibentuk hingga terhasil berlian yang mahal harganya. Semahal berlian yang diimpikan oleh wanita, mahal lagi peribadi yang Allah bentuk dan diimpikan pula oleh seluruh alam. Bersabar dan hargai setiap pemberian dari Allah. Yakinkan si permaisuri hati agar sentiasa bersyukur pada tumpangan kasih ilahi yang kita tidak tahu sampai bila akan dinikmati. Kelabu tak berarti hitam, padanya ada sebahagian putih dan hitam. Bermujhadahlah kearah yang diingini Allah.

Sebagai mereka bergelar teman, sahabat mahupun kawan. Ada sebab kenapa nabi mengumpamakan sahabat itu ibarat penjual minyak wangi dan pembuat besi. Peranan sahabat dan saudara terdekat juga menjadi sesuatu aset yang berharga buat mereka yang dalam fasa tajdid diri. Hulurknlah tangan dan biarkanlah mereka merasa kebaikanmu, keikhlasanmu agar nikmat ini dapat dirasa bersama. Sesekali tidak kita menghukum dan menghakimi mereka dengan label-label yang membuatkan mereka menyerah dan kembali ke jalan yang buruk. Sedangkn Allah itu pencipta mereka siapalah kita mencaci ciptaanNYA. Kawal pancaindera yang ada kerana tarbiah berlaku di mana-mana.


KECIL TAPI BESAR


Dalam setiap satu proses tarbiyah itu walau 0.1% perubahan sekalipun, ia adalah satu perkara yang paling bernilai buat diri, keluarga dan kawan-kawan. Boleh jadi dengan perubahan itu menarik hati-hati yang lain untuk sama bermula kepada kebaikan walau 0.01% perubahan sekalipun. Dan hakikat sebenar itu adalah kita telah menjadi 0.01% atau 0.1% insan yang lebih baik dari sebelumnya. Itu adalah hakikat sebenar dalam tarbiyah. Jangan berhenti belajar berubah walaupun seketika kerana Istiqamah dalam kebaikan adalah usaha yang Allah tengok dan bukan hasil kerana ia akan datang kemudian. Percayalah

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: ‘Tuhan kami adalah Allah’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengn mengatakan): ‘Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu” – (Fusillat 40: 30)

Teruskan bersinar! Itu adalah bahagian yang Allah beri untuk kamu.


Alifah Ahmad
Banting, Selangor
23 Shaaban 1437

CONVERSATION

1 comments:

Catat Ulasan

Back
to top